26 APRIL : Gunung Berapi Sinabung di Sumatera Utara yang meletus hari ini telah menyebabkan abu tebal menyeliputi kawasan sekitar sejauh satu kilometer dari puncaknya.
Menurut Pusat Mitigasi Bahaya Volkanologikal dan Geologikal Indonesia, letusan itu berlaku pada 1.55 pagi waktu tempatan, selama 175 saat.
Sebelum ini sudah terdapat larangan agar orang awam tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan perkampungan yang terletak tiga kilometer dari puncak gunung berkenaan dan kawasan sungai yang mengalir dari Gunung Berapi Sinabung.
Pihak berkuasa juga mengeluarkan arahan supaya penduduk memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah untuk mengelak daripada bernafas dalam debu gunung berapi berkenaan.