27 APRIL: Tidak menjadi suatu kesalahan sekiranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meminta petugas mereka membantu mempromosi aktiviti dan produk agensi itu.
Menteri Sumber Manusia,Datuk Seri M Saravanan turut menggalakkan agar seluruh warga Perkeso menjadi duta kehormat kepada produk dan perkhidmatan yang disediakan pertubuhan itu.
“Apa salahnya sebuah agensi mempromosikan produk mereka melalui petugasnya, ia bukan jenayah dan permintaan itu satu ciri ‘self of belonging’ warga agensi itu.
“Kenapa MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) melihat ini sebagai satu kesalahan, sedangkan usaha itu yang akan membantu rakyat mengetahui lagi mengenai bantuan dan program yang dimiliki Perkeso,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai tindakan MTUC yang membidas tindakan Perkeso memperuntukkan markah khusus dalam penilaian prestasi pekerjanya berdasarkan kiraan jumlah pautan yang dikongsi mereka dari akaun Facebook rasmi Ketua Eksekutifnya Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Terdahulu, MTUC mengecam cara Perkeso menilai prestasi pekerjanya itu, dengan berkata dasar berkenaan akan menyekat perkembangan modal insan dan memberi mesej salah kepada syarikat lain.
Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bersedia memberi kelonggaran dan prosedur baharu bagi peminjam yang terkesan akibat COVID-19 untuk pembayaran balik.
Oleh itu, beliau menyarankan peminjam yang terkesan untuk berbincang dengan pihak PTPK mengatur semula proses pembayaran balik pinjaman mereka.
“PTPK boleh atur balik cara bayaran dan prosedur baharu untuk peminjam bayar pinjaman mereka. Kita sedia untuk menyemak semula pinjaman mereka.
“Walaupun PTPK ada melantik agensi pungutan pinjaman, namun saya tidak mahu agensi ini ambil tindakan drastik dengan cara memaksa,” katanya.