28 APRIL: Kerajaan Sarawak mengumumkan bantuan khas RM500 kepada semua gred pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bantuan khas itu akan dibayar pada bulan Mei ini, iaitu sebelum menjelang perayaan Aidilfitri dan Gawai.
“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, terutama ketika negeri dan negara menghadapi tempoh yang penuh cabaran ini.
“Kerajaan Sarawak juga berharap dengan pemberian Bantuan Khas Aidilfitri dan Gawai Tahun 2021 ini dapat meringankan beban kewangan bagi pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
“Ia juga diharap menjadi insentif kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.