28 APRIL: Peluasan dan peningkatan insentif industri automotif oleh kerajaan akan menarik lebih banyak syarikat tempatan untuk mencari peluang pengembangan.
Ini dicapai dengan meneroka produk berteknologi tinggi baharu dan tokokan nilai tinggi, di samping mengembangkan rantaian bekalan mereka di rantau ini.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, insentif baharu itu tepat pada masanya kerana industri automotif di ASEAN sedang berkembang pesat dengan negara-negara terus menginovasikan dasar dan strategi bagi menarik pelaburan terutama bagi kenderaan elektrik.
“Malaysia mengharapkan kesan limpahan positifnya seperti pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pindahan teknologi dan pengetahuan kepada ekosistem industri tempatan,” katanya.
Selain itu, MIDA berkata, ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik bagi pemain industri automotif di seluruh dunia dan hab bagi kenderaan cekap tenaga.
Menurut agensi itu, meskipun objektif utama insentif yang diperluaskan itu adalah untuk menggalakkan pelaburan dana kenderaan cekap tenaga, skop aktiviti tambahan kini layak mendapat insentif industri automotif.
“Ia merangkumi pelbagai produk berteknologi tinggi dan bernilai tinggi termasuk kenderaan generasi seterusnya, kenderaan elektrik dan komponen berkaitan serta komponen teras dan kritikal,” katanya.
MIDA berkata, berikutan struktur industri automotif yang kompleks di rantaian nilainya, kerajaan mengkaji semula keperluan kriteria tokokan nilai sebagai sebahagian daripada skim insentif dipertingkat.
Permohonan bagi insentif itu dibuka sehingga 1 Disember 2025, dan syarikat yang layak digalakkan untuk menyerahkan permohonan kepada MIDA dengan segera.
“Sejak 2014 sehingga sekarang, kerajaan menerusi MIDA telah menilai dan meluluskan insentif cukai bagi 13 projek automotif dengan pelaburan bernilai RM4.6 bilion,” katanya.