28 APRIL: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyakini dan percaya bahawa Op Pelican 3.0 Fasa 2 yang dilaksanakan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay penting dalam usaha menyiasat dan menyelesaikan kegiatan geng ‘Nicky’ yang terlibat dalam jenayah terancang.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, penahanan itu pasti memberikan kesan yang mendalam kepada semua pegawai di agensi penguatkuasaan bahawa mereka bukanlah ‘kebal’ dan tidak boleh disentuh oleh sesiapapun.
Menurut beliau, tindakan tatatertib dan perundangan yang tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit walaupun perkhidmatan mereka kepada negara ini juga penting.
“Komitmen yang dinyatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki bagi menyerahkan mana-mana pegawai SPRM yang diperlukan untuk membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah amat terpuji dan wajar dipraktikkan di semua agensi penguatkuasaan di negara ini.
“Semua ketua di mana-mana agensi penguatkuasaan tidak boleh berkompromi jika pegawai mereka disyaki terlibat walau dalam apa jenis jenayah sekalipun. Pegawai tersebut perlu disiasat dengan teliti dan dihukum jika benar-benar didapati bersalah,” katanya menerusi kenyataan media kepada PN BBC Portal, hari ini.
Semalam, Ayob Khan mengesahkan seramai 12 pegawai penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan dalam Op Pelican 3.0 Fasa 2 yang dijalankan Polis Johor antara 21 April hingga semalam.
Operasi itu dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Penahanan 12 pegawai itu merupakan tangkapan pertama melibatkan pegawai penguat kuasa yang disyaki terlibat dengan kegiatan ‘Geng Nicky
Dalam pada itu, Jais memberitahu masyarakat juga perlu sedar bahawa pegawai agensi penguat kuasa juga bukanlah malaikat yang tidak pernah berbuat salah atau ‘maksum’ daripada sebarang kesalahan.
“Kita perlu sedar bahawa terdapat lebih daripada 180,000 pegawai pelbagai agensi penguatkuasaan di seluruh negara, namun jika hanya segelintir yang tersalah langkah, ini bukanlah bermakna semuanya rosak dan tidak amanah.
“Gerakan pembersihan seperti inilah yang dinanti-nantikan oleh semua rakyat Malaysia dalam usaha memastikan pelbagai jenayah dibasmi di negara ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH