29 APRIL: Lebih 100,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari enam kategori dijangka dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mereka sempena cuti perayaan ini.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata perkara itu adalah selari dengan keputusan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam, yang bersetuju untuk membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aildilfitri kecuali Sarawak.
KPT berkata pelajar IPT berkenaan turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.
Menurut kenyataan KPT, kebenaran berkenaan adalah selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan.
“KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal.
“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masingmasing ialah pada 7 – 12 Mei 2021, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 – 20 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Enam kategori pelajar IPT berkenaan adalan terdiri daripada mereka yang dibenarkan ke kampus secara fizikal mulai 1 Mac lalu bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian.
Kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.
Kategori kedua membabitkan pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian. Ketiga, pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.
Keempat ialah, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom. Kategori kelima, pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan keenam pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.
Berikutan itu, pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri/daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.
Mengulas lanjut, katanya pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.
Katanya, pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.
“Pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.
“Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam (6) kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan dokumen soalan lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.
Pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628. Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan. – Oleh HAIKA KHAZI
Get real time updates directly on you device, subscribe now.
Prev Post