16 JUN: Kewibawaan dan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyelesaikan sebarang masalah berbangkit merupakan antara faktor yang memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus mentadbir negara sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, selain itu, kerjasama politik antara Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan PN sebagai kerajaan yang dekat di hati rakyat.
“Tiada masalah kerana kita (Bersatu) di sini sentiasa bersama UMNO dan PAS memberi sokongan padu kepada Tan Sri Muhyiddin untuk terus memimpin negara.
“Kami yakin dengan kepemimpinan beliau, PN mampu bertahan sehingga penggal berakhir,” katanya kepada PN BBC Portal ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fasiah yang juga merupakan Ahli Parlimen Sabak Bernam memberitahu, pihaknya sentiasa berdiri teguh di belakang kepemimpinan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan Presiden parti.
“Saya dan semua ahli Bersatu bahagian Sabak Bernam sentiasa konsisten serta menyokong penuh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH