4 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Panjang Dinggai, Pakan, Sarikei, Sarawak yang dijadualkan tamat, esok dilanjutkan selama dua minggu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata keputusan itu dilaksanakan selepas sebanyak 21 kes positif direkodkan daripada 51 ujian saringan COVID-19 dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokaliti itu.
Katanya, KKM juga memaklumkan, masih berlaku penularan kes dalam kalangan penghuni lokaliti itu serta terdapat kes baharu direkodkan.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Rumah Panjang Dinggai, Pakan, Sarikei, Sarawak bermula 6 Mei sehingga 19 Mei 2021,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Ismail Sabri berkata, penamatan PKPD pula akan dilaksanakan di Rumah Panjang Matthew, Pakan, Sarikei, Sarawak esok, seperti dijadualkan.
Sepanjang dua minggu PKPD dilaksanakan di lokaliti itu sebelum ini, sebanyak 16 kes positif COVID-19 direkodkan daripada 67 ujian saringan dijalankan.
Malah, katanya, KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal, manakala kes terakhir direkodkan adalah pada 26 April 2021, iaitu 14 kes.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Rumah Panjang Matthew, Pakan, Sarikei, Sarawak pada 5 Mei 2021, seperti dijadualkan,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di tiga tamat perumahan di Lahad Datu, Sabah, iaitu Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height akan ditamatkan esok, seperti dijadualkan.
Sehingga kini, katanya, KKM menjalankan 174 ujian saringan di ketiga-tiga lokaliti itu, namun hanya tiga kes positif direkodkan.
Justeru, katanya, KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di tiga lokaliti di Lahad Datu, Sabah dinyatakan itu pada 5 Mei 2021, seperti dijadualkan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN