7 MEI : Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah mengingatkan semua rakyat jangan sesekali mengabaikan penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah terutama ketika sambutan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.
Titah Tuanku Muhriz, pengamalan standard operasi prosedur penting untuk diamalkan kerana inilah merupakan ikhtiar dalam usaha untuk mengelakkan jangkitan dan memutuskan rantaian wabak tersebut.
Selain itu, Tuanku Muhriz turut menyeru semua rakyat agar segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi memastikan semua masyarakat mendapat perlindungan.
Baginda seterusnya bertitah agar akyat negeri ini meraikan sambutan Aidilfitri secara sederhana berikutan suasana ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini.
“Kesan penularan wabak COVID-19 telah mengurangkan kegiatan ekonomi yang menjejaskan sumber pendapatan, maka sambutan Hari Raya pada tahun ini seharusnya diraikan tanpa perbelanjaan besar atau mewah,” titah baginda menerusi perutusan Adilfitri hari ini.
Tuanku Muhriz turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan negeri termasuk petugas kesihatan, pasukan keselamatan dan semua rakyat negeri ini dalam memerangi COVID-19 terutama mereka yang perlu bertugas ketika Aidilfitri nanti.
Baginda dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta keluarga turut mendoakan seluruh rakyat Negeri Sembilan agar sentiasa berada di bawah perlindungan Allah S.W.T dan terus kekal aman makmur serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana.