8 MEI: Menawan Gunung Everest bukan kerja mudah berikutan cuacanya yang ekstrem, namun kini para pendaki berdepan satu lagi ancaman iaitu pandemik COVID-19.
Ini berikutan, pada pendakian musim ini lebih 30 pendaki yang sakit sudah dikeluarkan dari kaki Gunung Everest sekali gus menjejaskan harapan pendaki yang pastinya telah membuat persediaan rapi.
Keadaan itu juga memberi satu tamparan hebat pada industri pelancongan Nepal tahun lalu, apabila wabak itu menyebabkan penutupan puncak gunung yang menyebabkan kerugian jutaan hasil.
Tahun ini, pihak berkuasa melonggarkan peraturan kuarantin dalam usaha menarik pendaki dan mengeluarkan permit kepada lebih 400 orang.
Permit Everest berharga AS$11,000 (RM45,237) dan pendaki membayar lebih daripada AS$40,000 (RM164,500) untuk melakukan ekspedisi.
Cuaca lebih panas ketika ini membolehkan pendakian dilakukan dengan lebih selamat di puncak diliputi salji.
Begitupun, ia berlaku ketika waktu gelombang kedua jangkitan dengan kes aktif di negara itu meningkat enam kali ganda dalam tempoh dua minggu terakhir.
Pendaki Norway, Erlend Ness, berkata dia menghabiskan dua malam di Base Camp bulan lalu tanpa mengetahui penyebab dirinya sakit.
“Saya dikeluarkan dan dibawa ke Kathmandu sebelum didapati positif COVID-19.
“Saya rasa bukan saya seorang yang sakit…setiap pasukan di markas penempatan tahu risikonya dan mereka harus berhati-hati,” katanya kepada AFP, menjadi pendaki pertama dengan permit yang disahkan positif jangkitan itu.
Rakan pendaki, Gina Marie Han-Lee pula memutuskan untuk meninggalkan ekspedisinya minggu lalu kerana bimbang penyakit terbabit merebak di sekitar markas penempatan.
Pegawai di klinik kesihatan yang merawat pendaki berkata, lebih 30 orang sudah diterbangkan dari kem dalam beberapa tempoh minggu terakhir.
Sekurang-kurangnya dua individu positif apabila kembali ke ibu kota Kathmandu.