8 MEI: Sebanyak 16 kluster baharu COVID-19 dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster itu membabitkan lapan kluster tempat kerja, enam kluster komuniti dan masing-masing satu kluster keagamaan serta institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Jelasnya, kluster tempat kerja adalah Kluster Kampung Kebun Sayur dan Jalan Desaru di Johor; Jalan Lima Puluh Satu dan Jalan Padang Golf di Selangor serta Jalan Stadium 2 di Selangor dan Kuala Lumpur.
Kluster tempat kerja juga adalah Kluster Pasar Borong KL 3 di Kuala Lumpur; Kluster Jalan Era di Negeri Sembilan dan Kluster Jalan Limbungan Jaya di Melaka.
Beliau berkata, kluster komuniti adalah Kluster Bechah Palas dan Lorong Kubor di Kelantan; Jelalong di Sarawak; Dah Putih di Kedah; Rantau Siantan di Pahang dan Keramat di Sabah;
“Manakala kluster keagamaan adalah Kluster Jalan Mawar 20 di Johor serta kluster institusi pendidikan KPM di Jalan Batu Maung di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media khas perkembangan COVID-19, hari ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN