Terserah PM putuskan siapa pengganti Vigneswaran
16 JUN: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan tentang calon bagi menggantikan beliau setelah penggalnya berakhir bulan ini.
Memetik laporan Malaysia Gazette, beliau memberitahu, perkara itu terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri.
“Kalau benar beliau (Tan Sri Rais Yatim) akan mengambil kerusi saya (Yang Dipertua Dewan Negara), saya ucapkan tahniahlah kepada YB Tan Sri.
“Tetapi banyak Tan Sri dilantik Senator hari ini,” katanya bagi mengulas tentang ura-ura Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim mungkin dinamakan sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu.
Selain Rais, empat lagi Senator baharu iaitu Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Idris Ahmad, Muhammad Zahid Md Arip dan N Balasubramaniam mengangkat sumpah di hadapan Vigneswaran.
Vigneswaran yang juga Presiden MIC berkata, calon Yang Dipertua Dewan Negara tidak semestinya dilantik dalam kalangan penyokong kerajaan.
“Cuma kebiasaannya nama calon Senator akan diberikan oleh pihak kerajaan.
“Pihak lain juga boleh kemukakan nama calon yang layak mengisi jawatan Yang Dipertua Dewan Negara dan jika ada dua nama maka pemilihan akan berlaku,” ujarnya.