9 MEI : Tindakan nekad seorang lelaki berusia 35 tahun bersenjatakan sebilah parang cuba menceroboh masuk ke kawasan pos kawalan Kem Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan (4RS) Gerik, Perak, membawa padah apabila suspek ditembak ketika bergelut dengan pengawal di pintu hadapan kem berkenaan, petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata sebelum pergelutan berlaku dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, lelaki terbabit yang datang dari luar diberi amaran oleh anggota tentera yang melakukan kawalan di pos pintu hadapan kem itu.
Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit tidak menghiraukan amaran itu, malah bertindak agresif menyerang anggota tentera pengawal pos berkenaan dengan senjata dibawa dan berlaku pergelutan sebelum dia ditembak.
“Dalam pergelutan itu, anggota tentera pengawal pos berkenaan melepaskan tembakan dan mengenai lelaki terbabit.
“Tentera kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dan menghantar lelaki terbabit ke Hospital Gerik, untuk mendapatkan rawatan, tetapi dia kemudian disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, lelaki terbabit adalah bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat pada 2003 dan ditamatkan perkhidmatannya pada 2013 kerana mengalami masalah mental.
Katanya, pihak IPD Gerik juga pergi ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan dan merampas beberapa barangan berkaitan kes itu.
“Polis juga sedang menunggu laporan bedah siasat yang akan dibuat hari ini di Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 9, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan polis akan melengkapkan kertas siasatan serta merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan mengharap tiada sebarang spekulasi daripada orang ramai sehingga menjejaskan siasatan,” katanya.