9 MEI: Polis tahan seorang warga emas yang menyamarkan sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner (ACP) semata-mata untuk mendapatkan surat kebenaran merentas negeri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP, Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid berkata warga emas berusia 65 tahun itu ditahan selepas cuba memohon surat kebenaran merentas negeri di Balai Polis Petaling Jaya, pada jam 9 malam, kelmarin.
Mohamad Fahkrudin berkata pada mulanya suspek menunjukkan gambarnya memakai pakaian seragam polis di telefonnya kepada anggota polis bertugas.
“Suspek mengaku bergelar ‘Datuk’ dan berpangkat Asisten Komisioner tanpa menunjukkan sebarang bukti identiti sebagai pegawai kanan polis.
“Anggota polis yang bertugas ketika itu meminta suspek mengemukakan dokumen yang menunjukkan dia adalah pegawai kanan polis namun suspek gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikutan itu Mohamad Fakhrudin berkata, suspek ditahan kerana gagal mempamerkan sebarang kad identiti dan kad kuasa serta menyamar sebagai penjawat awam.
Beliau berkata suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.