17 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan tahniah kepada pelajar Malaysia, Pavit Coran atas kejayaannya muncul johan Pertandingan Pidato Umum Antarabangsa English Speaking Union (ESU), Jumaat lalu.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang Pavit, 19, yang juga penuntut Universiti Multimedia (MMU) kampus Melaka itu kerana berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan pelajar dan belia untuk bekerja keras serta berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Istana Negara, hari ini.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan selamat maju jaya kepada Pavit dan mendoakan beliau dilimpahi kejayaan cemerlang serta terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada masa hadapan.
Pada pertandingan itu, Pavit yang mewakili English Speaking Union of Malaysia (ESUM) muncul johan selepas menewaskan 35 peserta dari 33 negara. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN