18 MEI: Pemilik sebuah kedai makan di Medan Niaga Bahau, Jempol, Negeri Sembilan dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas didapati membenarkan pelanggan makan di dalam premisnya, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, tindakan kompaun itu diambil semasa operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan kira-kira jam 11 pagi.
“Pemilik premis berusia 54 tahun itu dikompaun selepas didapati gagal memastikan pelanggan mematuhi SOP dengan membenarkan pelanggan makan di premisnya.
“Seorang pelanggan berusia 30 tahun turut dikompaun sebanyak RM1,500 atas kesalahan makan di dalam kedai ketika tempoh pelaksanaan SOP PKP,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Chang Hook berkata, dalam operasi sama, lima individu berusia antara 29 hingga 59 tahun dikenakan kompaun masing-masing RM1,500 kerana gagal mendaftar masuk ke dalam sebuah kedai makan di Kampung Bakar Batu, Bahau dan sebuah restoran di Pusat perniagaan Bahau.
“Kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.