19 MEI: Dakwaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat atau ‘full lockdown’ akan dilaksanakan di seluruh negeri Perak Jumaat ini seperti yang tular di aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan dan perbincangan lanjut masih diadakan berkenaan hal tersebut.
“Saya tidak pasti dari mana datangnya sumber maklumat itu. Yang pastinya, kita memang ada beberapa siri mesyuarat yang dijalankan bagi perbincangan berkaitan PKP namun masih belum mempunyai keputusan muktamad.
“Malahan, pada petang ini, akan ada mesyuarat bagi memperhalusi keperluan untuk menangani kes COVID-19 yang semakin membimbangkan di Perak terutamanya daerah Kinta, Hulu Perak, Larut dan Selama,” katanya menerusi sidang media maya dari pejabatnya, hari ini.
Terdahulu, mesej yang tular itu antara lain menyebut, esok Perak akan mengumumkan pelaksanaan PKP lebih ketat yang mula berkuat kuasa pada Jumaat berikutan kebolehjangkitan yang tinggi akibat varian Afrika Selatan.
Dalam pada itu, Saarani memaklumkan kerajaan negeri telah meningkatkan jumlah katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Badminton Ipoh daripada 208 kepada 308 buah
“Ini bagi menampung unjuran kes positif yang dijangka meningkat dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang,” katanya.
Selain itu beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti lokasi PKRC yang baharu sama ada di Zon Utara atau di kawasan Hilir Perak bagi meningkatkan kesiapsiagaan Perak menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan kes jangkitan yang berlarutan.
Menurut beliau, Perak tidak lagi boleh bergantung kepada PKRC di MAEPS Serdang, Selangor mahupun Seberang Perai, Pulau Pinang memandangkan kedua-dua PKRC berkenaan juga menghadapi peningkatan jumlah pesakit.
“Kita juga telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan makan dan minum kepada petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai sokongan berterusan khususnya kepada petugas barisan hadapan yang terus berjuang memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Saya juga memohon agar semua PPV sentiasa memastikan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan bersiap siaga dengan kawalan agar tidak berlaku kesesakan yang boleh membawa kepada risiko penularan kluster baharu,” katanya.