19 MEI: PAS berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM5,001,924 menerusi Tabung PASRelief untuk disalurkan kepada Palestin, walaupun baru enam hari kutipan dilancarkan.
Jumlah itu direkodkan daripada akaun semua PAS Negeri dan Dewan serta entitinya.
PAS Kedah menjadi penyumbang terbesar setakat ini membabitkan jumlah sebanyak RM1,571,363 dan masih meneruskan kutipan, diikuti PAS Terengganu (RM1,521,235), PAS Pahang (RM530,579), PAS Johor (RM187,974) dan PAS Pulau Pinang (RM141,600).
Selain itu, PAS Melaka mengumpul sumbangan RM60,000, manakala PAS Wilayah Persekutuan (RM58,950), PAS Selangor (RM58,810), PAS Negeri Sembilan (RM42,011) dan PAS Sarawak (RM41,010).
Manakala, PAS Perlis memperoleh sumbangan berjumlah RM28,016, PAS Sabah (RM15,965), Dewan Pemuda PAS (RM120,000) dan Dewan Muslimat PAS (RM54,000).
Bagi PAS Negeri Perak dan PAS Kelantan serta Dewan Ulamak PAS, pihak terbabit masih menggerakkan kutipan sebelum memuktamadkan jumlah rasmi untuk diumumkan.
Sumbangan dikumpulkan menerusi PASRelief itu menjadikan tabung utama yang dilancarkan Presiden PAS yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, #Aid4Palestine pada 12 Mei lalu, sudah berjaya mengutip sejumlah RM6,521,554, setakat semalam.
Tabung #Aid4Palastine turut menerima sumbangan berjumlah RM1,519,612 daripada gabungan 124 badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama melancarkan tabung terbabit.
Pada peringkat awal pelancarannya, gabungan di bawah tabung #Aid4Palestin yang bermula dengan 42 NGO, meningkat mendadak kepada 124 NGO setakat petang semalam dengan sasaran kutipan sebanyak RM2 juta.
Lebih menarik dan unik, apabila sumbangan itu turut membabitkan hasil pemberian aset beberapa individu yang dibuka untuk bidaan.
Kempen dan penubuhan Sekretariat #Aid4Palestine ini bertujuan mengambil tindakan proaktif serta segera membantu perjuangan Palestin menerusi kempen kesedaran dan penyelarasan kutipan dana melalui kaedah ‘crowfunding‘.
Selepas pelancaran tabung #Aid4Palestine menerima sambutan menggalakkan dan misi mengumpul kutipan RM1 juta sebelum 30 Syawal berjaya, kini sekretariatnya menyasarkan RM10 juta.
Bagi individu dan pihak yang ingin menyumbang, boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank bernombor 5640 7061 4481 (Tabung Kemanusiaan PASRelief) atau https://pasrelief.onpay.my/order/form/gaza dengan rujukan ‘Aid4Palestine’.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan dengan menghubungi talian ‘hotline’ 011-2077 5802 atau layari Facebook rasmi PASRelief di https://web.facebook.com/pasrelieff.