20 MEI: Tindakan seorang pelajar sekolah menengah di Bengkulu, Jakarta memuat naik video dirinya menghina Palestin sehingga tular dalam media sosial memakan diri apabila dikenakan tindakan buang sekolah.
Lapor Kompas.com, pihak sekolah mengambil keputusan tegas itu berikutan kesalahan tersebut amat besar dan melepasi had kesalahan yang ditetapkan dalam peraturan sekolah.
Ketua Pendidikan Benteng, Adang Parlindungan berkata, hasil perbincangan dengan pihak sekolah memutuskan tindakan disiplin itu perlu diambil.
“Pihak sekolah sudah merekodkan kesalahan tatatertib pelajar berkenaan yang melanggar peraturan. Berdasarkan maklumat itu, kesalahan yang dilakukan sudah melebihi daripada had kesalahan yang ditetapkan oleh pihak sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Bengkulu Tengah, Ary Baroto berkata, kes pelajar itu dianggap sudah selesai kerana hasil pertemuan yang dijalankan, pihaknya berjaya menemui jalan tengah dan murid itu sudah dimaafkan.
“Kami sudah menyelesaikan kes ini dengan sewajarnya kerana tidak semestinya setiap masalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan,” jelasnya.
Hasil pertemuan melibatkan penjaga, pihak sekolah dan tokoh masyarakat, pelajar itu membuat permohonan maaf serta menyesal dengan perbuatannya.
“Saya minta maaf atas perbuatan sendiri kepada seluruh penduduk Palestin dan Indonesia,” katanya.