21 MEI: Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah dan di peringkat daerah bagi kawasan terkesan akibat banjir, sudah diaktifkan serta merta, susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kawasan itu membabitkan Tenom, Keningau dan Beaufort, termasuk Membakut serta Sipitang yang terjejas akibat bencana alam terbabit.
Jelasnya, beliau sudah mengarahkan semua pegawai daerah di kawasan terjejas banjir agar mengaktifkan jawatankuasa bencana masing-masing selama 24 jam.
“Ini bagi memastikan semua mangsa banjir dapat segera dipindahkan, termasuk pemberian bakul makanan.
“Saya meminta penduduk di kawasan berisiko tinggi untuk banjir agar segera berpindah jika diminta berbuat demikian.
“Apa yang penting saya mahu bantuan makanan dan keselamatan penduduk diutamakan serta saya mengarahkan daerah lain yang berisiko banjir agar sentiasa bersiap sedia susulan musim hujan sejak akhir-akhir ini,” katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Setakat jam 9 pagi tadi, seramai 1,447 mangsa banjir di tempatkan di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Tenom, Beaufort dan Sipitang dengan membabitkan 373 Ketua Isi Rumah (KIR).
Banjir kali ini membabitkan 68 kampung di Beaufort, manakala 33 kampung di Tenom.
Rabu lalu, beberapa kawasan di Penampang dan Putatan turut dinaiki air, susulan hulan lebat lebih dua jam yang menyebabkan banjir kilat.
Hajiji berkata, semua kawasan atau daerah berisiko banjir, termasuk yang memerlukan bantuan, sentiasa dipantau kerajaan menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri dan di peringkat daerah masing-masing.
Menteri Kewangan Sabah itu berkata, berkata, beliau turut mengarahkan pengunaan dua helikopter pagi tadi, bagi menghantar sebanyak 2,000 bantuan bakul makanan kepada lebih 1,400 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dan Sipitang.
“Kerajaan melalui Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah meluluskan sebanyak 2,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada setiap KIR di 11 PPS terbabit, masing-masing 1,000 bakul makanan di Tenom dan Beaufort,” katanya.