21 MEI: Kematian seorang lelaki berusia 43 tahun dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam adalah berpunca daripada serangan jantung.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata laporan itu dikeluarkan oleh Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas melakukan proses bedah siasat yang mengambil masa hampir empat jam, hari ini.
Bagaimanapun, Arjunaidi berkata polis menyerahkan kepada Mahkamah Koroner untuk menjalankan inkues bagi mengenal pasti punca kematian lelaki terbabit.
“Saya juga ingin menjelaskan bahawa lelaki berusia 43 tahun berkenaan dibawa ke IPD Gombak, kerana mempunyai waran tangkap dikeluarkan oleh mahkamah bukannya untuk disoal siasat seperti didakwa sesetengah pihak.
“Proses berkenaan adalah untuk memberi jaminan polis untuk dia hadir ke mahkamah, siasatan kes membabitkan si mati sudah selesai 2016 lagi,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, polis mengesan mendiang di sebuah kilang dan lelaki terbabit mengikut polis ke IPD Gombak secara sukarela.
Malah, Arjunaidi menjelaskan suspek tidak digari memandangkan dia memberi kerjasama penuh kepada polis.
“Bagaimanapun, kira-kira pukul 11.40 pagi, lelaki itu mengalami sesak nafas sebelum polis menghubungi pasukan paramedik Hospital Selayang untuk bantuan kecemasan.
“Kakitangan hospital yang tiba mengesahkan lelaki itu sudah mati dan mayatnya dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat. Malah, ahli keluarganya mengesahkan si mati mempunyai sejarah sesak nafas dan sakit jantung,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.