22 MEI: Polis merampas telefon bimbit milik Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ahli politik itu mengenai kematian tahanan, A Ganapathy.
Berikutan itu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata Syed Saddiq dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi direkodkan keterangan mulai jam 10 pagi hingga 1.15 tengah hari.
Mohd Azman berkata Pengasas dan Presiden penaja Parti MUDA berkenaan diminta hadir bagi siasatan berhubung klip video berdurasi 57 saat bertajuk *#JusticeforGanapathy yang dimuat naik di laman Instagramnya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Berikutan itu Mohd Azman berkata polis merampas seunit telefon bimbit jenis iPhone 11 pro max dan satu unit simkad Maxis milik Syed Saddiq.
Beliau berkata kes berkenaan kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Terdahulu, Syed Saddiq mempersoal tindakan polis merampas telefon bimbitnya ketika hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli Parlimen Muar itu berkata polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merampas telefon bimbitnya untuk menyiasat akses akaun Instagram dan Tik Tok kepunyaannya.
“Saya tidak pasti sama ada merampas telefon bimbit dilakukan secara sah atau tidak, saya serahkan perkara itu kepada peguam. (Soalnya) kenapa nak rampas telefon saya?
“Bagi saya (merampas telefon bimbit) tidak perlu kerana saya secara sukarela membenarkan mereka mengakses akaun saya,” katanya kepada wartawan ketika ditemui sejurus memberi keterangan selama tiga jam di IPD Dang Wangi hari ini.