22 MEI: Polis mengesahkan kertas siasatan berhubung dakwaan rentas negeri usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail sudah diserah kepada Pejabat Peguam Negara, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman menerusi kenyataan berkata, kertas siasatan itu telah dihantar ke pejabat tersebut pada 2.30 petang untuk tindakan lanjut.
“Berhubung isu pergerakan rentas negeri ke Nilai, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan berkaitan dengan perkara itu selaras Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini
Terdahulu, Muhammad Haris didakwa atas dua pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3 pada 2 Mei lepas.
Neelofa pula didakwa tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.
Pasangan itu, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, mengaku tidak bersalah dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Jun ini.