23 MEI: Banjir di Sabah semakin buruk apabila mangsa yang dipindahkan terus meningkat, setakat jam 8 pagi ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, berkata seramai 4,832 mangsa daripada 1,326 keluarga sudah ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah Tenom dan Beaufort.
Katanya, jumlah itu semakin meningkat, berbanding 4,792 mangsa membabitkan 1, 315 ketua isi rumah (KIR) setakat jam 8 malam tadi.
“Tenom masih menjadi daerah paling ramai mangsa banjir dipindahkan ke PPS dengan seramai 4,221 mangsa membabitkan 1,169 keluarga kini masih ditempatkan di 35 PPS seluruh daerah ini.
“Daerah Beaufort pula mencatatkan bilangan 611 penduduk dipindahkan ke PPS dengan jumlah keluarga sebanyak 157 KIR,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jurucakap APM berkata, pihaknya sukar meramalkan situasi banjir ketika ini ekoran keadaan cuaca tidak menentu.
Penduduk di kawasan rendah dan berdekatan sungai, katanya, perlu sentiasa peka terhadap perubahan cuaca, selain memantau anak masing-masing agar tidak bermain banjir.