23 MEI: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama tiga bulan kepada rakyat Palestin yang berdepan serangan rejim zionis Israel.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata baginda berkenan supaya elaun itu disumbangkan ke Tabung Pahang4Palestin dilancarkan kerajaan negeri semalam, sebagai tanda solidariti rakyat negeri berkenaan kepada penduduk Palestin.
“Sesungguhnya patik dan rakyat jelata menyanjung tinggi kurniaan ini yang akan menjadi pembakar semangat dalam membela dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin tertindas,” katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya, malam tadi.
Tabung Pahang4Palestin dilancarkan bagi mengumpulkan dana untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin.
Wan Rosdy berkata, walaupun tabung itu dikhususkan untuk rakyat Pahang, kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia bagi menyalurkan sumbangan.
Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan kepada tabung terbabit, sumbangan boleh dibuat menerusi akaun di Bank Muamalat milik Perbendaharaan Negeri Pahang bernombor 06010002165711 dengan rujukan Pahang4Palestin. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN