24 MEI: Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) mengesahkan proses pemindahan kayu balak bersaiz luar biasa seperti tular di media sosial kelmarin, mempunyai dokumen dibenarkan.
Menerusi kenyataan JPNP, lori membawa kayu balak itu ditahan pihaknya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gombak arah barat bagi tujuan pemeriksaan.
“Hasilnya kita mendapati lori itu mempunyai pas pemindahan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Terengganu (JPT).
“Lori itu difahamkan dalam perjalanan ke kilang di Selangor,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Justeru, JPNP berharap sebarang aduan berkaitan jabatan mereka dapat disalurkan terus mengikut saluran betul bagi membolehkan tindakan segera diambil, selain mengelakkan salah faham masyarakat.
Semalam, seorang pengguna laman sosial Facebook memuat naik gambar lori membawa muatan kayu balak bersaiz luar biasa yang didakwa dirakamkan di R&R Temerloh arah barat, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pada jam 5.50 petang.
Pengguna terbabit mempersoalkan mengapa lori itu tidak menunjukkan nombor pendaftaran lesen pembalakan seperti kebiasaan, selain bagaimana kayu balak itu boleh lepas tanpa pemeriksaan atau bayaran cukai kerana mendakwa Balai Pemeriksaan Hutan ditutup pada hari minggu.
Namun, Ahad adalah hari bekerja di Terengganu dan LPT1 adalah laluan biasa untuk pemandu kenderaan itu dari negeri berkenaan ke Pantai Barat.