24 MEI: Seorang pengasuh wanita berusia 24 tahun ditahan polis berhubung kes bayi lelaki berusia 14 bulan dalam jagaannya meninggal dunia dipercayai terjatuh katil di Paka, Dungun, Terengganu, kelmarin.
Bayi berkenaan meninggal dunia jam 10 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas mengalami pendarahan dan retak kepala.
Mangsa yang sebelum itu tidak sedarkan diri dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HSNZ Kuala Terengganu kira-kira 5 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dungun, Baharudin Abdullah, berkata pemeriksaan terhadap badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan fizikal namun pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer mendapati bayi itu mengalami pendarahan di ubun kepala serta keretakan di belakang kepala.
“Hasil soal siasat, pengasuh wanita berusia 24 tahun memaklumkan mangsa terjatuh secara terlentang dari katil dengan kepalanya terhentak di lantai ketika bermain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada mulanya kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 tetapi kini kes disiasat bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.
“Polis akan menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya.
Media semalam melaporkan bayi itu mengalami pendarahan dan retak kepala selepas dipercayai terjatuh dari katil ketika berada di rumah pengasuhnya kelmarin.
Mangsa sebelum itu dihantar bapanya berusia 30 tahun ke rumah pengasuh pada 10.15 pagi sebelum lelaki terbabit bergerak ke kedai makan.
Bagaimanapun, lelaki terbabit menerima panggilan daripada isterinya memaklumkan anaknya mengalami masalah di rumah pengasuh sebelum dia bergegas ke rumah wanita terbabit.