24 MEI: Rakyat digesa berhenti menuding jari menyalahkan Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memerangi wabak COVID-19 di negara ini.
Penasihat Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (PERAPIM), Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi berkata, rakyat Malaysia diseru bersama-sama kerajaan dalam menurunkan kes dengan melakukan amalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.
“Seluruh rakyat Malaysia kena mengambil tanggungjawab bersama. Jangan asyik tunding jari kepada pihak kerajaan dan pihak KKM, sedangkan kita sendiri sebenarnya tidak mengamalkan amalan kendiri dan menjaga SOP.
“Salah-menyalah ini seharusnya sudah lama kena dihentikan. Sudah masanya kita bersama berjuang bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19. Kita tengok pada diri kita. Sudah tiba masanya kita memahami betul betul maksud #kitajagakita,” katanya kepada PN BBC Portal, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Nizam memberitahu bagi umat Islam, kedatangan wabak COVID-19 yang merupakan virus yang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada Malaysia malah seluruh dunia merupakan ujian daripada Allah.
“Jadi, kalau kita masih salahkan bermakna kita tidak reda dengan ujian yang Allah berikan, bermakna kita sudah salah landasan. Allah uji benda ni nak tengok kesabaran kita, kesatuan kita sebagai orang Islam dan kerjasama kita dengan bangsa lain. Kita perlu memahami maksud dan perkara ini dengan jelas, “katanya.
Sementara itu, beliau meminta agar orang ramai mengamalkan amalan kendiri dan pematuhan SOP untuk menyekat peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 yang menyaksikan bilangan kes harian kini mencecah lebih 6,000 kes setiap hari.
Beliau juga menasihati mereka supaya menasihati keluarga terdekat dan jiran tetangga untuk berbuat perkara yang sama kerana apapun usaha yang dibuat kerajaan tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP yang ditetapkan.
“Seluruh rakyat perlu bersama duduk di rumah dalam masa dua dan tiga minggu ini, kita perlu bantu kerajaan turunkan kes wabak ini. Ini kena dengan #kitajagakita bermakna kita jaga keluarga kita, jiran-jiran kita, orang terdekat nasihat agar mereka duduk di rumah, lakukan amalan kendiri serta patuhi SOP,” katanya.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH