26 MEI: Lebih sejuta slot tempahan janji temu suntikan vaksin AstraZaneca habis ditempah tidak sampai satu jam selepas dibuka pada 12.15 tengah hari, tadi.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi Twitternya mengesahkan tempahan janji temu untuk pusingan kedua Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca kini sudah ditutup.
“Mereka yang layak akan menerima janji temu dalam masa terdekat. Terima kasih bagi mereka yang mendaftar untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok,” kata JKJAV dalam satu ciapan menerusi akaun Twitternya.
Bagaimanapun, ciapan berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati dan perasaan curiga dalam kalangan pengguna media sosial yang mempertikaikan bagaimana tempahan slot berkenaan boleh penuh sedangkan laman web vaksincovid.gov.my mengalami gangguan kira-kira 30 minit ketika dibuka pada jam 12 tengah hari.
Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Khairy, mengumumkan kerajaan akan membuka tempahan slot pusingan kedua untuk mendapatkan vaksin AstraZaneca secara sukarela kepada golongan bawah 60 tahun ke bawah mulai jam 12 tengah hari, hari ini.
Khairy dipetik sebagai berkata langkah berkenaan diambil berikutan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mendapati hanya 228,347 slot ditempah golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang diberikan keutamaan dalam pusingan kedua pemberian vaksin AstraZaneca mulai Ahad lalu.
Bagaimanapun, individu yang berada dalam senarai menunggu pemberian vaksin AstraZaneca dalam pusingan pertama akan dimasukkan secara automatik dalam pusingan kedua pemberian vaksin terbabit.