26 MEI : Walaupun dimarah seorang wanita berhubung masalah berkaitan vaksinasi, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilihat dengan tenang mengawal keadaan.
Apa yang lebih membanggakan, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengambil tindakan secara peribadi untuk menyelesaikannya yang dilihat satu prinsip dan sikap yang matang sebagai seorang pemimpin.
Menerusi video tersebut, kejadian yang berlaku di pusat pemberian vaksin (PVV) yang memaparkan seorang wanita meninggikan suara ketika menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada Khairy mengenai isu dihadapi berkaitan janji temu bapanya.
Menurut wanita itu, janji temu vaksinasi bapanya ditetapkan hari ini, namun pagi ini telah ditukar kepada 15 Jun tanpa sebab.
“Apa yang berlaku? Saya tidak mahu menunggu lagi. Beliau pesakit kanser,” katanya yang turut mengakui kesal terpaksa bersikap “memalukan” untuk menyelesaikan masalahnya.
Khairy yang mendengar luahannya dengan tenang kemudian memberi jaminan akan menyiasat isu itu.
“Tidak mengapa, puan, biar saya bantu anda.”katanya.
Susulan itu, seorang pembantu Khairy menerusi ciapan di Twitter menjelaskan masalah itu berlaku akibat kesilapan memasukkan nombor kad pengenalan.
“Khairy mendengar luahannya dan terus menyelesaikannya. Janji temu ayahnya itu diberikan semula selepas nombor kad pengenalan dibetulkan,” katanya.
Video itu dikongsikan susulan orang ramai berang dengan masalah dihadapi ketika proses pendaftaran untuk program suntikan AstraZeneca.
Terdahulu, orang ramai yang berhasrat menjadi penerima vaksin AstraZaneca kecewa dan marah apabila laman web permohonan itu gagal berfungsi dengan baik hari ini.
Menurut admin laman web vaksincovid.gov.my, keadaan itu berlaku ekoran sambutan luar biasa masyarakat sehingga pelayan laman web itu gagal berfungsi dengan baik kerana kadar trafik yang tinggi.
Kemarahan mereka berasas kerana biarpun berpuluh kali mencuba anda akan menghadapi pelbagai masalah untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin AstraZaneca secara sukarela.
Antara masalah dihadapi orang ramai ialah tidak boleh memasukkan butiran berkaitan dengan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) dan tarikh kerana pautan berkenaan tidak wujud.
Mereka juga mempertikaikan sama ada kementerian berkaitan tidak membuat persediaan rapi dan meramalkan kemungkinan peningkatan trafik berikutan sambutan menggalakkan diterima pada pusingan pertama pendaftaran vaksin AstraZaneca, sebelum ini.