27 MEI : Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini memutuskan bahawa kumpulan vaksin AstraZeneca akan dimasukkan kembali ke arus perdana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), dalam masa terdekat.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapati orang ramai tidak lagi berasa ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZaneza.
Berikutan itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata kaedah pemberian vaksin AstraZeneca tidak lagi diteruskan secara sukarela, sebaliknya ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh akan datang.
Beliau berkata, pihaknya sedang melihat kemudahan untuk memilih jenis vaksin COVID-19 dikehendaki yang mungkin diberikan kepada orang ramai melalui MySejahtera yang akan dikemaskini dalam tempoh terdekat.
“Kalau kita melihat kepada keputusan kaedah sukarela ini, ia dibuat apabila ada keengganan dalam kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca.
“Ia disebabkan beberapa berita mengaitkan vaksin ini dengan kes pembekuan darah. Maka, kaedah sukarela dibuat berdasarkan keputusan ‘inform decision’ oleh individu terbabit,” katanya pada sidang media khas menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Dalam pada itu, Khairy juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan membelanjakan RM70 juta untuk bina laman sesawang untuk membolehkan orang awam mendaftarkan diri sebagai penerima suntikan vaksin COVID-19 semata-mata.
“Hanya sebahagian daripada peruntukan bernilai RM70 juta berkenaan digunakan untuk membina laman sesawang terbabit, manakala selebihnya untuk kegunaan perkara lain termasuk pemantauan capaian program vaksinasi negara,” katanya.
Terdahulu, isu peruntukan RM70 juta menjadi perbualan hangat wargenet selepas orang ramai melahirkan rasa marah dan kecewa kerana laman sesawang www.vaksincovid.gov.my gagal diakses semasa pengguna berebut-berebut mahu mendaftarkan diri untuk mendapatkan slot suntikan vaksin AstraZaneca, semalam. – Oleh HAIKA KHAZI