18 JUN: Sikap pihak tertentu yang terlalu taksub ingin menjadi Perdana Menteri seolah-olah menunjukkan mereka tidak lagi mempedulikan hal ehwal rakyat.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim membangkitkan persoalan itu melalui laman Twitter miliknya hari ini.
“Hari-hari kehidupan dipenuhi soalan ‘siapa akan jadi PM Malaysia? Apa, hal rakyat tak penting lagi?
“Ikutlah kebijaksanaan pepatah ‘Tak berkokok ayam takkan hari tak siang?’ Siapa berjaya mengabdikan diri untuk rakyat dengan jujur, dialah jadi Perdana Menteri,” katanya .
Beliau dipercayai disebabkan merujuk isu perebutan calon jawatan Perdana Menteri dalam Pakatan Harapan (PH) sedang hebat diperkatakan.
PH kini menemui jalan buntu dalam menentukan siapa yang paling layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri mereka. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH