29 MEI: Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia menghampiri 170 juta apabila merekodkan 169.1 juta kes, sehingga kini.
Angka kematian akibat COVID-19 secara global pula menunjukkan sebanyak 35.1 juta kes.
Hampir 200,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu di seluruh dunia.
Data terbaharu Johns Hopkins University itu, menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan lebih 33.2 juta kes, diikuti India (27.55 juta) dan Brazil (16.34 juta).
Negara merekodkan angka melebihi 5 juta kes adalah Perancis dan Turki, manakala Rusia menghampiri angka 5 juta kes, selain United Kingdom (UK) serta Itali mencatatkan kes melebihi 4 juta kes.
Jerman, Sepanyol, Argentina dan Colombia pula merekodkan lebih 3 juta kes, manakala Poland, Iran, Mexico serta Ukraine mencatatkan lebih 2 juta kes.
Peru, Indonesia, Belanda, Afrika Selatan, Kanada adalah antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes.
Malaysia, Slovakia dan Panama direkodkan sebagai negara dalam lingkungan 300,000 hingga 600,000 kes, manakala negara lain mencatatkan angka positif di antara 100,000 dan 300,000 kes.
Sementara itu, berdasarkan data sama, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 593,000 kes, disusuli Brazil (lebih 456,000), India (lebih 318,000) dan Mexico (lebih 222,000).
UK, Itali, Rusia dan Perancis merekodkan lebih 100,000 kes kematian, manakala negara mencatatkan angka korban melebihi 50,000 kes, termasuk Jerman dan Sepanyol.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia merekodkan angka kematian tertinggi dengan menghampiri 50,000 kes korban.
Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 20,000, diikuti Malaysia, manakala Singapura kekal dengan 32 kematian setakat ini.