29 MEI: Amerika Syarikat (AS) menuntut rejim tentera Myanmar, membebaskan Pengarang Urusan Frontier Myanmar, Daniel Fenster yang ditahan awal minggu ini ketika cuba menaiki penerbangan meninggalkan negara bergolak itu.
Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, pihaknya sangat prihatin dengan penahanan warganya itu yang bertugas sebagai wartawan di Myanmar.
“Kami sudah menekan rejim tentera untuk membebaskannya dengan segera dan akan terus melakukannya sehingga dia dibenarkan pulang dengan selamat ke pangkuan keluarganya,” katanya menerusi kenyataa, hari ini.
Daniel, 37 ditahan Isnin lalu di lapangan terbang antarabangsa di Yangon.
Jurucakap itu berkata, penahanan Daniel, selain penangkapan dan penggunaan kekerasan dikenakan Myanmar terhadap wartawan lain adalah serangan tidak dapat diterima terhadap kebebasan bersuara di negara berkenaan.
Katanya, pegawai konsulat dari kedutaan Daniel sehingga kini belum diberi akses.
“Kami mendesak rejim Myanmar untuk memberikan akses konsular, seperti disyaratkan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular, tanpa penundaan, dan untuk memastikan perlakuan tepat terhadap Daniel ketika dalam tahanan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarang Frontier, Thomas Kean, berkata Daniel bertugas di syarikat media berkenaan sejak setahun lalu dan mahu pulang ke AS untuk bertemu keluarganya.
”Keutamaan kami sekarang adalah memastikan dia selamat dan memberikan apa sahaja bantuan diperlukannya,” katanya.
Myanmar mengalami kekacauan sejak rampasan kuasa dilakukan tentera 1 Februari lalu, menyaksikan tunjuk perasaan dan gerakan pemberontakan hampir setiap hari di seluruh negara.
Sebuah kumpulan pemantau tempatan memaklumkan, sejak itu, lebih 800 orang awam terbunuh dalam tindakan keras tentera.
Pihak media turut terperangkap dalam tindakan itu ketika junta berusaha memperketat penyebaran maklumat, melenyapkan akses internet dan membatalkan lesen media tempatan.