29 MEI: Kementerian Pengangkutan mengesahkan pesawat milik firma Israel melalui ruang udara Malaysia, baru-baru ini, namun tiada corak penerbangan tidak normal dikenapasti.
Menerusi kenyataan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), pesawat awam itu disahkan melalui ruang udara Malaysia mengikut peraturan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menyaksikan negara ini adalah sebahagian daripada Negara Anggota.
“MOT mengambil maklum berhubung pesawat awam dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara Malaysia, baru-baru ini.
“Pesawat awam ini berlepas dari Male, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada hari Rabu, 19 Mei 2021 jam 2.55 pagi,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu, sebagaimana peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan daripada melalui ruang udara, selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.
“Ditegaskan bahawa kelulusan penerbangan diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) ini, tidak dibenarkan pengangkutan itu mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia.
“Tiada corak penerbangan tidak normal ketika pesawat terbabit melalui ruang udara Malaysia, malah pihak berkuasa penerbangan Malaysia mengesahkan bahawa pesawat itu tidak kembali ke ruang udara Malaysia selepas tiba di destinasinya, Singapura,” katanya.
Sebelum ini, tular dakwaan berhubung kewujudan pesawat dimiliki Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta), sebuah syarikat kontraktor utama Tel Aviv yang memiliki kepakaran dalam risikan, selain sistem elektronik bagi kegunaan keselamatan di ruang udara Malaysia.
Pesawat Boeing 737-AOO itu didakwa melalui ruang udara negara selama empat jam, sebelum mendarat di pangkalan udara tentera republik berkenaan. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN