29 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di tiga lokaliti di Mukim Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan selama 14 hari, bermula lusa.
Lokaliti itu adalah Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 51 kes positif COVID-19 di lokaliti terbabit, iaitu 21 kes di Taman Desa Permai, manakala sebanyak 17 kes di Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh (13 kes).
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan memutuskan PKPD di tiga lokaloti perumahan, Mukim Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan seperti dinyatakan akan dilaksanakan bermula 31 Mei sehingga 13 Jun 2021.
“PKPD ini membolehkan KKM mengenalpasti, mengasingkan dan melakukan ujian saringan ke atas kontak rapat, sekali gus mengelak penularan jangkitan ke luar kawasan,” katanya menerusi kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Ismail Sabri berkata, PKPD turut dikenakandi Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Mukim Tungku, Lahad Datu, Sabah selama dua minggu, bermula 31 Mei sehingga 13 Jun ini.
“Sehingga kini, sebanyak 10 kes direkodkan KKM setelah menjalankan ujian saringan ke atas 28 penduduk di lokaliti terbabit.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksanakan di tiga rumah panjang di Ulu Sungai Sebakong, Mukah, Sarawak, iaitu Rumah Panjang Rimong anak Kilat, Rumah Panjang Asin anak Aji dan Rumah Panjang Bija anak Unggang selama 14 hari, bermula lusa.
“Berlaku peningkatan kes, iaitu sebanyak 35 kes positif direkodkan hasil daripada 93 ujian saringan dijalankan KKM,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, PKPD dilaksanakan di Kampung Padawan, Papar, Sabah selama dua minggu, bermula lusa.
Katanya, KKM sehingga kini menjalankan 238 ujian saringan dan sembilan daripadanya positif, malah berlaku peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 617 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 579 dikompaun, manakala 38 direman.
“Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka, iaitu 118 individu, diikuti rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis (112) dan tiada penjarakan fizikal (111).
“Gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis pula merekodkan 77 individu, tidak patuh arahan kawalan pergerakan (66), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain (122),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN