29 MEI: PKR tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi media sosial.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata Biro Politik parti itu pernah memberi amaran keras terhadap ucapan-ucapan Iswardy pada April lalu termasuk amaran tindakan akan diambil jika mengulangi perkara yang sama.
Namun, beliau menyatakan oleh kerana isu video Iswardy sudah menjadi kes siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), PKR akan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut terhadapnya.
“PKR mengesahkan Iswardy seorang anggota biasa parti berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan di dalam hierarki pimpinan PKR Sarawak mahupun pusat.
“Kenyataan beliau tidak sama sekali mewakili pendirian parti PKR, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Semalam, PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Iswardy berhubung kenyataannya menerusi video secara langsung dalam laman rasmi YouTube didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Iswardy memuat naik video berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di YouTube miliknya.
Dalam video yang dimuat naikkan semalam, Iswardy mengeluarkan kenyataan mendakwa Sultan Abdullah seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19.
Iswardy turut membandingkan Sultan Abdullah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH