30 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah agar perayaan Pesta Kaamatan yang merupakan hari bermakna kepada masyarakat Kadazandusun disambut dengan kebiasaan baharu yang mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.
Istana Negara dalam satu kenyataan yang dipaparkan dalam Facebook rasmi berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar perayaan Pesta Kaamatan akan terus menyemarakkan keharmonian antara kaum di Malaysia dan memperkukuhkan perpaduan rakyat di negara ini.
“Bersabarlah menghadapi cabaran ini dan marilah bersama memainkan peranan membantu memerangi wabak COVID-19 dengan bersama berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. Selamat Menyambut Pesta Kaamatan. Lindungi diri, lindungi semua,” titah Seri Paduka Baginda berdua.
Masyarakat Kadazandusun di Sabah menyambut Pesta Kaamatan hari ini disusuli sambutan Hari Gawai oleh komuniti Dayak di Sarawak, dua hari selepas itu.
Kedua-dua perayaan ini disambut sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan rezeki selepas berakhirnya musim menuai.