30 MEI: Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana golongan antivaksin yang dikesan cuba menghasut orang ramai daripada menerima suntikan vaksin COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, golongan terbabit boleh dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948.
“Selain Akta Hasutan, kita juga mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang di bawah Ordinan Darurat 2021.
“Kita tidak perlukan undang-undang baharu, boleh guna undang-undang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pengagihan sumbangan kepada penerima vaksin Parlimen Kota Bharu di pejabatnya di Kota Bahru, Kelantan, hari ini.
Justeru, Takiyuddin mengingatkan masyarakat awam agar tidak menyebarkan maklumat berbentuk provokasi berhubung pandemik COVID-19.
“Dalam keadaan kerajaan berdepan pandemik COVID-19, saya minta jangan timbulkan suasana tidak tenang dengan menyebarkan pelbagai maklumat palsu dan boleh menjejaskan keamanan.
“Itu nasihat kerajaan dan sekiranya ada yang masih ingkar, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sewajarnya sebagai pilihan terakhir jika keadaan tidak terkawal,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin memberitahu, setakat ini belum ada keputusan dibuat berhubung cadangan mengenakan kompaun ke atas individu yang gagal hadir janji temu suntikan vaksin COVID-19.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan kerajaan masih berpegang kepada dasar suntikan itu percuma dan diambil secara sukarela.
“Ada jawatankuasa khas di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengendalikan isu vaksin berkenaan. Bagaimanapun, kita dukacita kerana ramai penduduk gagal hadir termasuk di Kelantan.
“Kita tidak tidak mahu berlaku pembaziran dos vaksin dan mungkin ada kaedah perlu dibuat supaya mereka yang tidak hadir dapat digantikan dengan orang lain,” katanya.
Mengikut laporan sebelum ini, cadangan mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu tidak menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dilaporkan berkata, langkah mengenakan penalti terbabit dan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, dilihat hanya boleh diambil selepas pendekatan sukarela atau usaha pendaftaran menerusi pelbagai saluran termasuk MySejahtera dan secara bersemuka dilaksanakan sepenuhnya.
Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas golongan antivaksin yang dikesan cuba menghasut orang ramai daripada menerima suntikan vaksin COVID-19.