31 MEI: Kerajaan sedia pelbagai program pakej rangsangan bernilai lebih daripada RM100 bilion yang masih dalam pelaksanaan bagi membantu golongan terkesan akibat COVID-19, selain PEMERKASA Plus diumumkan Perdana Menteri hari ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dari segi perbelanjaan langsung daripada kerajaan, Kumpulan Wang COVID-19 telah diluluskan dengan siling RM65 bilion termasuk RM38 bilion telah dibelanjakan pada tahun 2020 dan sehingga April 2021.
Beliau berkata sebanyak RM10 bilion lagi telah disalurkan dan baki sebanyak RM17 bilion akan dibelanjakan pada tempoh yang terdekat.
Katanya, antara inisiatif dan program berkenaan termasuklah BPR Fasa 2 yang baru sahaja dilaksanakan awal Mei lepas dengan peruntukan sebanyak RM2.7 bilion yang telah disalurkan kepada 8.4 juta penerima dengan bayaran Fasa 3 bernilai RM2.4 bilion ringgit dijadualkan untuk bulan September.
“Kedua: Program subsidi upah, insentif penggajian serta program latihan untuk membantu menjamin pekerjaan sedia ada serta menggalakkan penyediaan pekerjaan baharu dengan sasaran 500,000 untuk tahun ini.
“Ketiga: Pelaksanaan projek-projek kecil dengan peruntukan lebih RM2 bilion untuk dibelanjakan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4 bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam,” katanya dalam perutusan khasnya sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata inisiatif keempat adalah menerusi Program Jaringan Prihatin bernilai RM2 bilion yang juga dilancarkan pada awal Mei lalu bagi membantu 8.4 juta penerima BPR untuk melanggan perkhidmatan telekomunikasi atau mendapatkan peranti telefon mudah alih.
Perdana Menteri, berkata inisiatif kelima ialah Program e-Belia yang akan dibuka pendaftaran mulai esok, 1 Jun 2021 bagi membolehkan 2 juta belia dan pelajar IPT yang layak untuk mendapatkan kredit bernilai RM150 dari penyedia perkhidmatan e-tunai.
Terdahulu, Muhyiddin berkata sejak COVID-19 melanda negara, kerajaan telahpun melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion dan memanfaatkan lebih 20 juta ahli isi rumah serta lebih dari 2 juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi RM200 bilion.
Justeru, Muhyiddin berkata masih terdapat lebih dari RM100 bilion lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini.
“Sebagai tambahan, pakej tersebut dilengkapi oleh inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion. Suntikan fiskal dan langkah diumumkan, membolehkan kita melihat ekonomi semakin pulih, menggambarkan hasil dan impak positif untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan menyediakan bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada bulan Mac tahun ini telah melonjak sebanyak 6 peratus, nilai tertinggi semenjak pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya. – Oleh Haika Khazi