1 JUN: Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menuntut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk bersiaran langsung mengenai kebenaran operasi dan penutupan kilang bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh memperlihatkan ketidakmatangan sebagai seorang pemimpin politik.
Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muhammad Saiful Bahari, mempersoalkan tindakan Asyraf yang tidak faham berhubung rasional kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi dan kenyataannya itu tidak ubah seperti kenyataan pembangkang.
“Justeru, apakah Pemuda UMNO ini memberikan peluang pekerjaan seandaikan rakyat dibuang kerja akibat penutupan sektor ekonomi.
“Saya ingin mencadangkan supaya rakyat Malaysia menyusun dan meneliti semula kenyataan-kenyataan Asyraf Wajdi.
“Ini kerana kita boleh melihat betapa dangkalnya kenyataan beliau yang seolah-olah penyambung lidah rasmi DAP dan pembangkang.
“Menjelang Hari Raya yang lalu, beliau sendiri mendesak kerajaan untuk buka sempadan untuk rakyat balik beraya.
“Tatkala kes meningkat beliau juga menjadi jaguh untuk “Total Lockdown” pula. Saya nasihatkan beliau berhemahlah dalam mengeluarkan kenyataan.
“Jangan sampai kelihatan seperti boneka DAP,” tegasnya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Saiful berkata Kerajaan memberikan kelulusan berdasarkan rantaian ekonomi bagi memastikan sesuatu produktiviti itu dapat terhasil dengan sempurna.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan penghasilan makanan seperti roti juga menuntut supaya sektor pembungkusan dan pengangkutan dibuka agar ianya dapat sampai kepada pembeli dengan sempurna.
“Usaha ini juga adalah sebahagian daripada ikhtihar untuk menjamin kelangsungan pendapatan dan
pekerjaan rakyat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk’ Seri Mustapa Mohamed sebelum ini juga telah mengeluarkan kenyataan.
“Di mana penutupan pelbagai industri seperti PKP 1.0 akan menyebabkan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak dan bilangan isi rumah miskin akan bertambah, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH