1 JUN: Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial.
Namun, Iswardy mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Mahyun Talib
Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berunsurkan penghinaan itu menerusi Facebook Iswardy Morni Official pada 29 Mei 2021 pada jam lebih kurang 3 petang.
Perbuatan itu tertakluk di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang mana sekiranya disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memohon mahkamah untuk menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000.
Hakim Mahyun Talib kemudian memutuskan untuk membenarkan Iswardy diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga mengarahkannya agar dia tidak mengeluarkan kenyataan berunsurkan hasutan, menyakitkan hati, jelek dan boleh menimbulkan kegusaran awam.
Sekiranya arahan tersebut dilanggar, mahkamah akan membatalkan jaminan terhadap Iswardy dan farikh sebutan kes adalah pada 2 Ogos 2021.
Terdahulu, Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak berkenaan ditahan sejurus memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di Youtube rasmi miliknya.
Menerusi video tersebut, Iswardy mengeluarkan kenyataan kesat terhadap Al-Sultan Abdullah dan mendakwa Yang di-Pertuan Agong seakan-akan tidak bertindak tegas terhadap peningkatan kes COVID-19 di negara ini.