1 JUN: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), memberi kebenaran kepada kira-kira 1.2 pekerja syarikat di seluruh negara untuk bekerja di premis berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai hari ini.
Menurut kenyataan MITI, langkah itu selari dengan usaha mengurangkan jumlah pekerja yang dibenarkan bekerja di premis daripada 3.2 juta kepada hanya 1.2 juta sepanjang PKP penuh dilaksanakan mulai hari ini hingga 14 Jun nanti.
MITI juga mengesahkan sebanyak 517,144 syarikat dengan sejumlah 9.67 juta tenaga kerja mendaftar di bawah COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang ditadbir oleh setakat 12 tengah hari tadi.
“Daripada jumlah itu 95,142 syarikat memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa PKP dengan pematuhan ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu.
“Setakat ini, berdasarkan kepada kapasiti tenaga kerja yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dianggarkan 1.2 juta pekerja daripada syarikat yang diluluskan dibenarkan untuk bekerja di premis. Ia merupakan pengurangan 2.0 juta tenaga kerja daripada 3.2 juta tenaga kerja bagi syarikat yang diluluskan.
“Bagi syarikat di bawah sektor yang diluluskan yang tidak mendaftar dengan CIMS 3.0 sebelum PKP terbaharu ini, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian sekiranya mereka ingin beroperasi semasa PKP ini,” katanya.
Dalam pada itu MITI berkata kementerian juga sudah mula memproses permohonan daripada syarikat di bawah sektor diluluskan bermula jam 1 tengah hari semalam.
“Semua surat kelulusan yang dikeluarkan oleh MITI menerusi CIMS 3.0 perlu mempunyai kod QR. Ciri ini diperlukan untuk membolehkan pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan mengesahkan ketulenan surat kelulusan,” katanya.