1 JUN: Hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyaksikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (PKP) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tinjauan Portal PN BBC di beberapa lokasi, seperti di pusat beli-belah dan pasar raya utama di sekitar Lembah Klang, mendapati suasana di pintu masuk premis itu tidak dipenuhi pengunjung.
Malah bagi premis yang menerima jumlah pengunjung agak tinggi pada satu-satu masa, pengurusannya menempatkan pengawal di pintu masuk bagi memantau keadaan, termasuk memastikan mereka beratur mengikut penjarakan fizikal ditetapkan, memakai pelitup muka, merekod kehadiran dan mengimbas suhu badan.
Hasil pemerhatian portal ini turut mendapati, setiap pengunjung mengimbas kod QR di aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis seperti disyaratkan, kecuali seorang atau dua yang merekodkan butiran diri mereka secara bertulis di buku log disediakan.
Jumlah pengunjung di dalam premis juga tidak ramai, manakala individu yang beratur untuk membuat pembayaran boleh dikira dengan jarak menunggu ditetapkan 1 meter antara mereka.
Pengurusan premis juga memberi kerjasama kepada pematuhan SOP, termasuk tempoh had masa tidak melebihi dua jam kepada setiap pengunjung, malah berulang kali membuat pengumuman berhubung perkara itu bagi mengingatkan mereka.
Selain itu, keadaan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan yang sebelum ini sentiasa sibuk dengan bilangan kenderaan yang banyak, kini lengang di kedua-dua arah, iaitu menghala Kuala Lumpur dan Klang.
Pemerhatian di beberapa premis menjual makanan, antaranya restoran tidak dipenuhi pengunjung, manakala penjaja kecil masih menjalankan perniagaan di tepi jalan, seperti dibenarkan kerajaan.
Kerajaan pada minggu lalu, mengumumkan PKP penuh bagi sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun, bertujuan membendung penularan jangkitan COVID-19. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN