2 JUN: Semua negeri di Semenanjung, kecuali Perlis, mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) melebihi nilai kebangsaan 1.07, semalam.
Menerusi perkongsian data Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter, hari ini kadar Rt di Sabah, Sarawak dan Labuan turut melebihi Rt kebangsaan itu.
Labuan mencatatkan kadar Rt tertinggi, iaitu 1.55 walaupun jumlah jangkitan kes baharu harian COVID-19 menunjukkan sedikit penurunan.
Kadar Rt di Sabah juga didapati tinggi dengan 1.26, diikuti Melaka (1.23) dan Negeri Sembilan (1.22).
Negeri lain yang mencatatkan kadar Rt melebihi nilai Rt 1.07 adalah Kelantan, Putrajaya dan Perak dengan Rt 1.15, Pahang (1.13), Kuala Lumpur (1.12), Kedah dan Terengganu (1.11), Pulau Pinang (1.10), Selangor serta Sarawak (1.09).
Manakala, kadar Rt di Johor pula adalah 1.08 da Perlis pada kadar kosong apabila tiada sebarang jangkitan COVID-19 baharu direkodkan, semalam.
Semalam, Malaysia merekodkan 7,105 kes jangkitan baharu COVID-19, selepas dua hari berturut-turut menunjukkan penurunan, iaitu 6,824 kes kelmarin dan 6,999 kes Ahad lalu.
Jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara kini pula mencecah 579,462 kes dengan 2,867 kematian.
Perkembangan membimbangkan itu menyaksikan negara melaksanakan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 sehingga 14 Jun bagi melandaikan keluk penularan jangkitan COVID-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN