3 JUN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan pihak polis mengeluarkan kompaun kepada pekerja di sebuah kilang pembuatan plastik yang merupakan satu tindakan yang melampau, tidak adil serta satu penindasan terhadap pekerja kilang tersebut.
Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) , Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, sewajarnya pihak majikan hendaklah dipertanggungjawabkan sepenuhnya di atas pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) tersebut dan adalah wajar dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, MTUC berpendirian bahawa dalam isu ini bukan menjadi kesalahan pekerja tersebut kerana pekerja tiada kawalan terhadap waktu kerja yang telah ditetapkan oleh pengurusan majikan tersebut.
“MTUC sangat terkejut dengan laporan media yang memaklumkan tindakan pihak pengurusan sebuah kilang pembuatan plastic di Taman Medan yang telah melanggar SOP menyebabkan seorang penyelia kilang serta 8 pekerja telah dikompaun setiap seorang.
” Pihak pengurusan kilang tersebut hendaklah bertanggungjawab sepenuh terhadap sebarang tindakan yang dikenakan termasuk dikompaun.
“Pekerja hanyalah menjalankan kerja mereka mengikut arahan pihak kilang tersebut demi kelangsungan hidup, pekerjaan dan pendapatan mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, polis mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan di sini, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan beroperasi melebihi masa ditetapkan, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 10.45 malam itu, polis mendapati lapan pekerja kilang bersama seorang penyelia sedang menjalankan kerja di dalam kilang terbabit melebihi masa dibenarkan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata kompaun RM10,000 dikenakan kepada penyelia yang juga pemilik kilang iaitu seorang wanita tempatan berusia 41 tahun.
Justeru, Mohd Effendy menegaskan, MTUC menggesa agar kompaun yang dikenakan terhadap pekerja tersebut hendaklah ditarik balik dan dibatal.
“Tindakan tegas perlu diambil dan dikenakan terhadap pengurusan kilang tersebut yang mengambil kesempatan terhadap pekerja dan bukan lah menjadikan pekerja sebagai mangsa keadaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH