3 JUN: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengaku bertanggungjawab atas kematian 23 orang awam yang terbunuh secara tidak sengaja di zon perang luar negara pada tahun lalu.
Angka kematian yang dilaporkan itu jauh lebih rendah berbanding statistik yang dikemukakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut laporan Pentagon, kematian itu membabitkan operasi di Iraq, Afghanistan, Somalia, Yaman dan Nigeria.
Jabatan Pertahanan AS melaporkan, terdapat kira-kira 23 orang awam terbunuh, 10 lagi cedera dalam operasi ketenteraan AS, seperti dinyatakan dalam dokumen laporan tahunan dikehendaki Kongres sejak 2018.
“Sejumlah besar kes itu berlaku di Afghanistan yang mana AS bertanggungjawab terhadap 20 kematian.
“Seorang orang awam terbunuh di Somalia pada Februari tahun lalu manakala seorang lagi di Iraq pada Mac 2020,” menurut laporan itu.
Bagaimanapun, ia tidak menyatakan butiran lanjut mengenai kematian mangsa ke-23.
Jelas dokumen tersebut, Kongres memperuntukan sebanyak AS$3 juta (RM12.36 juta) kepada Pentagon pada tahun lalu sebagai pampasan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam operasi tersebut namun tiada bayaran telah dilakukan.
Sebelum ini, sebuah NGO dikenali sebagai Airwars menyenaraikan orang awam yang maut akibat serangan udara.
Menurut Airwars, kira-kira 102 orang awam terbunuh dalam operasi ketenteraan AS di seluruh dunia.
Jumlah itu lima kali lebih tinggi berbanding statistik rasmi Pentagon.