2,430 penjawat awam kembali bertugas di PPV dan CITF
3 JUN: Seramai 2,430 penjawat awam kembali bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membantu kerajaan melandaikan semula lekuk penularan Covid-19 di Malaysia
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata inisiatif mobilisasi penjawat awam dan aset kerajaan menjadi antara strategi ampuh dalam menampung keperluan sumber manusia serta logistik di seluruh negara bagi memastikan kelancaran program mengekang pandemik ini.
Mohd Zuki berkata beliau melihat dan merasai sendiri komitmen serta dedikasi pelbagai pihak terutama penjawat awam yang bertugas tanpa kenal erti penat lelah dalam memastikan usaha kerajaan membendung dan melandaikan keluk jangkitan COVID-19.
“Saya tersentuh dengan keikhlasan dan kesungguhan semua penjawat awam terutama petugas barisan hadapan yang sanggup berkorban masa, tenaga serta meninggalkan keluarga demi negara,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Zuki berkata, beliau turut membuat lawatan mengejut ke dua PPV iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah dan Dewan Orang Ramai Taman Bukit Mewah, Selangor, yang turut disertai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
“Ketika lawatan itu, saya berpeluang bertemu penerima vaksin dan bertanyakan pengalaman mereka sepanjang proses pemberian vaksin.
“Alhamdulillah, mereka memberikan maklum balas sangat baik dan berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan serta kemudahan disediakan.
“Bagaimanapun, masih ada beberapa cabaran dan isu boleh diperbaiki, antaranya berkaitan janji temu, lokasi, pengiring bagi warga emas dan keperluan mempercepatkan proses vaksinasi itu sendiri.
“Saya dan anggota perkhidmatan awam terus komited membawa luahan rasa rakyat di lapangan untuk mencari penyelesaian terbaik di peringkat tertinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zuki meminta mereka yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, segera berbuat demikian di aplikasi MySejahtera atau medium disediakan kerajaan.
“Jangan terpengaruh dengan dakyah dan berita tidak benar mengenai usaha vaksinasi. Kita penentu kejayaan negara keluar daripada kemelut wabak COVID-19 ini.
“Saya akan memantau pelaksanaan inisiatif kerajaan di seluruh negara bagi memastikan penjawat awam terus memberikan komitmen tidak berbelah bahagi.
“Kita berharap usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19 beroleh kejayaan dan dapat kembali menikmati kehidupan seperti sedia kala,” katanya.