PHC Perlu Sebagai Persediaan Hadapi Pandemik,Epidemik
4 JUN: Pandemik COVID-19 memberi pengajaran penting kepada manusia supaya melakukan persediaan, pencegahan, pengesanan dan tindak balas dilaksanakan segera terhadap pandemik serta epidemik yang tercetus pada masa depan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata wabak itu menunjukkan penjagaan kesihatan primer (PHC) yang berdaya tahan adalah amat penting sebagai antara komponen utama sistem kesihatan yang kukuh.
Justeru, pelbagai pihak mesti ada kemampuan membuat persediaan dan bertindak balas secara berkesan terhadap krisis, sambil mengekalkan fungsi teras sebelum, ketika serta pasca-krisis.
“Memandang ke hadapan, pandemik ini memberi iktibar kepada kita untuk melakukan persediaan, pencegahan, pengesanan dan tindak balas segera terhadap epidemik serta pandemik pada masa depan.
“Kita mempunyai gambaran mengenai cabarannya yang amat besar, begitu juga dengan petanda harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, lewat malam tadi.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan pengukuhan sistem PHC di negara ini perlu menggunakan pendekatan sistem, dengan cara mempertimbangkan sistem penyampaian PHC awam dan swasta sedia ada.
“Kita sudah mengambil langkah ke arah itu melalui pelbagai program rintis inisiatif PHC yang dipertingkatkan (EnPHC) di sektor awam dan pembayar tunggal untuk sektor swasta bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk berpendapatan rendah.
“Di mana ia juga memberi fokus kepada penyakit tidak berjangkit iaitu Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40). Cabarannya adalah untuk meningkatkan langkah rintis ini kepada transformasi di seluruh negara,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran sama, Noor Hisham memaklumkan menghadiri perbincangan panel bertajuk ‘Lebih Teguh dengan PHC: Mengukur dan Menambah Baik Sistem Kesihatan untuk Krisis dan Seterusnya’ anjuran Inisiatif Prestasi Penjagaan Kesihatan Primer (PHCPI) sempena majlis penutup Perhimpunan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-74 baru-baru ini.
Beliau berkata, perbincangan itu secara ringkas membincangkan kepentingan mengukur PHC di negara masing-masing ketika krisis dan melangkaui krisis serta meneroka penemuan utama daripada Profil Tanda Vital (VSP) mengenai prestasi sistem kesihatan ketika COVID-19.
“Malaysia mendapat manfaat dengan menyertai VSP PHC, yang mana inovasi itu membantu mengukur kekuatan dan jurang sistem PHC negara.
“VSP bagi Malaysia dikeluarkan pada Persidangan Dunia mengenai PHC di Astana, Kazakhstan pada Oktober 2018, berdasarkan kepada kewangan, prestasi dan domain ekuiti.
“Sejak dua tahun kebelakangan ini, kita sudah menyelesaikan domain kapasiti dengan menggunakan model kemajuan,” katanya.