4 JUN: Malaysia menjadi negara pertama di dunia meluluskan produk Ravida yang digunakan secara kombinasi dengan ubat lain untuk merawat jangkitan virus Hepatitis C Kronik (HCV) dalam kalangan orang dewasa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata perndaftaran bersyarat produk Ravida Tablet 200mg (Ravidasvir Hydrochloride 200mg) sudah diluluskan pihak berkuasa kawalan dadah (PBKD) Malaysia.
Produk itu, katanya, dikilangkan Doppel Farmaceutici S.R.L, Itali yang menyaksikan Pharmaniaga Manufacturing Berhad adalah pemegang pendaftarannya di Malaysia.
“Jangkitan HCV adalah isu kesihatan awam di negara ini dan Malaysia komited untuk menghapuskan HCV menjelang tahun 2030.
“Bagaimanapun, kos pengesanan dan rawatan menggunakan ubat Direct Acting Antivirals (DAA) pada masa ini memerlukan kos tinggi, justeru, terdapat keperluan mencari penyelesaian alternatif dalam mendapatkan rawatan berkesan pada kos lebih berpatutan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah membangunkan Pelan Strategik Nasional bagi Hepatitis B dan C 2019-2023 untuk merangka hala tuju jelas, selain memastikan matlamat menghapuskan hepatitis B serta C dicapai.
Susulan itu katanya, KKM bekerjasama dengan Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) untuk memulakan inisiatif kolaborasi pada 2016 bagi mengurangkan halangan daripada segi akses dan kemampuan untuk pesakit HCV mendapatkan rawatan di Malaysia.
Jelasnya, hasil utama kerjasama ini adalah melalui pelaksanaan Kajian Klinikal HCV DNDi, iaitu kajian STORM-C-1 yang dijalankan di enam fasiliti di Malaysia dan empat fasiliti di Thailand.
“STORM-C-1 adalah kajian klinikal penting bagi permohonan pendaftaran produk terbabit dan dapatannya sudah diterbitkan jurnal The Lancet Gastroenterology & Hepatology pada 15 April 2021,” katanya.